Tuesday, 25 April 2017

REFLEKSI KENDIRI HARI PERTAMA

ANIS AMIRAH BT DIN ARIF
SIQ 160004

"Lawatan pertama ke Rumah Hope telah banyak memberikan pengalaman baru yang cukup bermakna buat saya. Melalui aktiviti yang telah dijalankan, kami berpeluang untuk mengenali dan beramah mesra bersama mereka. Secara jujurnya, agak susah bagi kami untuk mengawal kanak-kanak di sana kerana mereka begitu aktif dan agresif dan mereka juga sering bergaduh antara satu sama lain. Beberapa aktiviti juga terpaksa bertukar atas sebab-sebab yang tidak dapat dijangkakan. Selepas beberapa jam meluangkan masa bersama mereka, kami dapat menyesuaikan diri dan dapat mengawal situasi tersebut dengan baik. Harapan saya pada sesi akan datang, kami dapat melakukan aktiviti dengan lebih teratur dan dapat pengalaman yang lebih menyeronokkan."


HARISSA AMANI BT ABDUL RAZAK
SIQ 160008

"Lawatan pertama ke Rumah Hope memberi saya seribu satu kenangan yang tak akan dapat saya cari di tempat lain.Saya seorang yang tidak suka pada kanak-kanak pada mulanya . Namun , ketika saya melawat Rumah Hope , seorang kanak-kanak datang memegang tangan saya dan mengajak saya bermain . Dia melindungi saya apabila kanak-kanak lain mahu membuli saya . Ini membuktikan kanak-kanak juga mempunyai perasaan . Saya mula dapat mengadaptasikan diri dengan kanak-kanak Saya juga belajar bahawa susah mana hidup kita, ada lagi manusia yang lebih susah dan kita perlu sentiasa bersyukur . Saya juga gembira kerana diberi peluang untuk medekati kanak-kanak ini dengan lebih dekat." 

INTAN SYAFINAZ BT MUHAMMAD HATTA
SIQ 160009

"Lawatan hari pertama saya ke Rumah HOPE merupakan hari yang sangat mendebarkan kerana belum pernah bersua muka dengan kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut. Sejak pagi lagi, sudah terbayang di fikiran saya, mampukah aktiviti yang dirancang oleh kami sejak beberapa minggu lepas ini akan diterima baik oleh kanak-kanak Rumah HOPE ? Persoalan terjawab apabila kami disapa mesra oleh kanak-kanak dan seluruh penghuni Rumah HOPE. Aktiviti kami di awal pagi juga berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Namun begitu, terdapat beberapa aktiviti perlu diubah serta-merta kerana tidak digemari oleh kanak-kanak Rumah HOPE. Walaupun terdapat aktiviti yang dirancang tidak berlaku seperti yang diharapkan, saya tetap berasa gembira melihat kanak-kanak tersebut bermain dan melibatkan diri dalam aktiviti yang dilakukan. Hubungan kemesraan juga semakin terjalin erat walaupun baru satu hari berjumpa mereka. Saya berharap, lawatan seterusnya pada hari Sabtu 22/4/2017 akan lebih meriah dan aktiviti dijalankan dengan lebih efektif." 

LEE WEI KENG
SIQ 160012

"Pada 15 April 2017, kami telah mengadakan lawatan pertama ke Rumah HOPE untuk program Jalinan Masyarakat Sains Aktuari Universiti Malaya 2016/2017. Sebelum ke Rumah HOPE, kami telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut seperti permainan kerusi berirama dan sesi pembelajaran. Namun begitu, tidak kesemua aktiviti boleh diterima oleh kanak-kanak di Rumah HOPE. Oleh yang demikian, kami telah membuat keputusan untuk melakukan rombakan aktiviti permainan agar semua kanak-kanak di rumah tersebut bergembira dengan program yang diadakan oleh kumpulan kami. Dengan pengalaman bermakna ini, saya dapat belajar untuk sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan kerana tidak semua perkara berlaku mengikut apa yang kita rancangkan. Oleh itu, saya berharap, untuk lawatan kami ke Rumah HOPE pada hari Sabtu (22/4/2017) akan datang ini dapat menceriakan lagi hari kanak-kanak tersebut dengan aktiviti-aktiviti menarik yang telah diberi penambaikan. Sekian." 

LIM CHEEN CHEEN
SIQ 160013

"Sebelum bertolak, saya berasa teruja kerana saya telah lama tidak melawat ke rumah anak-anak yatim. Anak-anak yatim dalam Rumah Hope berumur 7-15 tahun. Oleh sebab mereka memberi kerjasama yang tinggi kepada kami, lawatan ini berjalan dengan lancar. Sepanjang lawatan tersebut, kami mempunyai pengamalan yang manis bermain dengan kanak-kanak. Saya berharap dalam lawatan seterusnya, kami dapat mengeratkan lagi hubungan dengan mereka dan mengajar mereka sekiranya mereka menghadapi masalah dalam akademik."

LIM MING LIANG
SIQ 160014

"Semasa merancang aktiviti untuk kanak-kanak di rumah Hope, kami telah merancang beberapa aktiviti yang memerlukan mereka untuk bertanding supaya akan dapat hadiah. Antaranya ialah kerusi berirama, bola beracun dan sebagainya. Kami menyangka segala aktiviti akan berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang. Pada hari kejadian, iaitu pada 15 hari bulan April, kami telah bertolak ke rumah Hope. Situasi yang kami hadapi bukan seperti yang dijangka tetapi lagi teruk dan memenatkan. Kerusi berirama menyebabkan ketidakpuasan sesetengah kanak-kanak kerana bermain kasar. Terdapat beberapa kanak-kanak yang nakal dan sangat aktif dan mengakibatkan kita tidak dapat mengawal situasi. Kami terpaksa memujuk beberapa kanak-kanak yang menangis di situ. Kami juga dilarang memberi makanan kepada mereka di tempat yang disediakan kerana akan mengotorkan  tempat itu. Saya bercadang untuk mengurangkan aktiviti yang memerlukan pertandingan supaya lebih senang untuk mengawal mereka seperti origami. Ini merupakan pengalaman yang amat baik kerana saya selalu menyangka menjaga kanak-kanak merupakan sesuatu yang senang."

LIM YONG XIN
SIQ 160016



“Pada 15 April 2017 (Sabtu) , saya telah mengunjungi Rumah Hope bersama dengan rakan-rakan sekursus saya untuk program Jalinan Masyarakat Sains Aktuari 2016/2017. Kami telah menjalankan banyak aktiviti bersama dengan mereka seperti “Musical Chair” . “ Word Puzzle” dan sebagainya. Melalui lawatan ini, saya mendapati bahawa adalah agak mencabar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak yang mempunyai julat umur besar dengan kami. Selain itu, say juga berharap agar semua pihak dalam masyarakat boleh memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut tidak kira dalam bentuk kewangan ataupun tenaga.”


MUHAMMAD FARID DANIAL BIN KHAIRUL AZLEE
SIQ 160022

“Pada 15 April 2017, saya dan rakan sepasukan saya telah mengunjungi Rumah Hope buat pertama kalinya untuk melaksankan Program Jalinan Masyarakat. Pelbagai perancangan dan persediaan telah dibuat berkenaan aktiviti yang bakal dilaksanakan bersama anak-anak yatim di Rumah Hope. Antara aktiviti yang dibuat bersama mereka ialah sesi ice breaking, kerusi berirama dan menonton movie bersama. Namun begitu, terdapat aktiviti yang tidak mendapat sambutan daripada anak-anak yatim ini. Mungkin kerana mereka pertama kali bertemu dengan fasilitator dan juga kurang persefahaman antara mereka. Namun, dia khir program tersebut, pelbagai perkara telah kami bincangkan sesama fasilitator untuk meluangkan masa bersama anak-anak yatim ini dengan lebih mesra dan meninggalkan kenangan manis bersama mereka.”

MUHAMMAD HAFIZ BIN IBRAHIM
SIQ 160023



"Alhamdulillah selesai sudah hari pertama untuk jalinan masyarakat bagi kumpulan pelajar sains aktuari ke Rumah HOPE di Petaling Jaya. Pada mulanya saya rasa amat teruja kerana sebelum ini saya tidak pernah berkunjung ke rumah anak yatim dan membuat aktiviti bersama mereka tetapi bila hari kejadian saya membuat aktiviti bersama mereka saya rasa, saya sudah serik membuat aktiviti bersama kanak-kanak kecil. Mereka amat hiperaktif ketika kami membuat aktiviti bersama dan kelemahan kami juga tidak pandai mengawal suasana ketika membuat aktiviti bersama mereka dan aktiviti kami mungkin membosankan. Jadi saya harap kunjungan kami pada hari kedua dan seterusnya akan lebih teratur dan sempurna."

NUR SYAFIQAH BINTI SHAIFUL BAHRI
SIQ 160034

"Sebelum bermulanya program ini, saya sememangnya menjangkakan bahawa kanak-kanak di Rumah Hope ini sedikit "hyper" tetapi sebaik sahaja tiba di Rumah Hope ini pada hari kejadian, saya sedikit terkejut kerana mereka sebenarnya lebih "hyper" daripada apa yang saya sangkakan. Terdapat sekumpulan kana-kanak yang sangat aktif di mana kami memerlukan beberapa orang ahli untuk mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diingini seperti memanjat kerusi. Mereka juga cenderung untuk bergaduh apabila menjalankan aktiviti seperti "Word Search Puzzle". Disebabkan ini, kami terpaksa merombak kembali aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada hari kedua dan ketiga untuk mengelakkan daripada kejadian di hari pertama kembali berulang. Namun begitu, saya gembira kerana kami hanya memerlukan masa yang singkat untuk bergaul mesra dengan kanak-kanak itu. Hal ini memudahkan lagi perjalanan aktiviti agar berjalan dengan lebih lancar."

NURLIYANA BINTI BAHARUDDIN
SIQ 160037

"Pada hari Sabtu yang lepas, 15 April 2017 saya dan rakan-rakan telah menjalankan projek Jalinan Masyarakat kami di Rumah Hope. Kanak-kanak di sana amatlah aktif dan saya tidak menjangkakan keadaan seperti ini kerana pengalaman saya sebelum ini amatlah berbeza. Namun begitu, saya menabahkan diri dan menganggap ini sebagai satu cabaran dan pengalaman yang baru untuk saya. Setelah seharian berada di sana, banyak yang telah saya perolehi dan pelajari. Antaranya ialah, saya dapat melihat kehidupan yang kanak-kanak ini lalui serta merasakan bahawa mereka amat memerlukan perhatian dan juga kasih sayang daripada masyarakat kita. Tidak dinafikan bahawa memang letih dan penat melayan kerenah mereka, akan tetapi saya berasa amat gembira apabila melihat senyuman yang terpaut di wajah mereka. Di samping itu, mustahil jika saya katakan bahawa aktiviti pada hari pertama berjalan dengan lancar. Oleh disebabkan jangkaan kami lain dengan realiti ketika berada di sana, beberapa masalah telah timbul. Dari situ, saya telah pelajari bahawa dalam menjalankan sesuatu program, komunikasi antara ahli memainkan peranan yang amat penting dan juga komitmen daripada setiap ahli kumpulan sangat diperlukan. Selain itu, perlu adanya pelan alternatif sekiranya aktiviti yang telah dirancang tidak bersesuaian dengan keadaan di sana. Justeru, saya berharap agar saya dan ahli-ahli lain dapat memperbaiki beberapa kesilapan ini agar program ini dapat dijalankan dengan lebih tersusun pada hari kedua nanti. Saya juga berharap agar kami dapat bergembira bersama-sama sambil berbakti kepada masyarakat yang memerlukan. Tidak dilupakan juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli kumpulan yang telah bertungkus-lumus menjayakan hari pertama ini walaupun ada beberapa masalah tetapi ianya boleh diperbaiki."


UMI UMAIRAH BT AHMAD AZMAN
SIQ 160040

"Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saya memegang jawatan Biro Tugas-Tugas Khas. Alhamdulillah, kami dapat membeli barang yang diperlukan oleh Biro Aktiviti pada harga yang murah dan dapat mengurangkan kos pembelian barang. Pada hari pertama Jalinan Masyarakat dijalankan, semua aktiviti telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit perubahan. Kanak-kanak yang berada di Rumah Hope sangat ceria dan aktif. Kami telah pelajari cara menangani masalah pergaduhan dan cara menguruskan kanak-kanak dengan adil. Oleh itu, kami telah membuat sedikit perubahan untuk hari kedua aktiviti Jalinan Masyarakat kami supaya segalanya berjalan dengan lebih lancar lagi dan tiada sebarang masalah berlaku."

CHOONG SHI KEE
SIQ 160042



"Segala kesediaan yang kami lakukan adalah untuk hari ini. Kami berasa gembira apabila berjumpa dengan kanak-kanak yang ramai di hadapan kita. Akitiviti-aktiviti yang disediakan bukan sahaja menambahkan ilmu pengetahuan mereka tetapi juga mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Selain itu, kami telah mengambil inisiatif dengan berkomunikasi kepada kanak-kanak yang lebih bersikap diam agar mereka akan berasa selasa semasa aktiviti kami dijalankan. Dalam tempoh yang agak pendek, hubungan kami dengan kanak-kanak menjadi lebih rapat. Perjalanan aktiviti hari ini mempunyai sikit perubahan supaya lawatan ini dapat diadakan dengan lebih lancar dan sempurna. Akhirnya, Kami amat berharap anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang dapat menikmati keseronokan dengan kedatangan kami hari ini."

SAAID UMAR AISAR BIN SAAID HAZLEY
SIQ 160045



"Pada sabtu lepas saya dan kumpulan telah melawati dan menjalani aktiviti jalinan masyarakat di Rumah HOPE. Sebelum menjalani aktiviti tersebut, saya menjangka aktiviti yang akan dijalani tidak akan berjalan dengan lancar dan tidak mengikuti jadual yang telah ditetapkan berdasarkan pengalaman saya dengan aktiviti kemasyarakatan saya sebelum ini. Selain itu, saya tidak meletakkan harapan atau jangkaan yang tinggi kerana ini kali pertama program sebegini  saya lakukan bersama ahli program universiti saya. Di Rumah Hope saya terkejut akan perlakuan budak di sana, mereka sangat liar dan tidak mendengar kata bukan seperti rumah anak yatim atau rumah peliharaan yang saya pernah lawatui. Melayan mereka adalah sungguh memenatkan. Jadi, saya hanya melihat di tepi sahaja menolong dengan tugas tugas khas seperti menyediakan pengangkutan dan membeli makanan dan minuman untuk kami. Pada lawatan yang seterusnya saya ingin memberi kerjasama yang lebih banyak kepada kumpulan saya. Saya berasa bersalah terhadap mereka. Saya juga bertanya pada diri sendiri adakah disebabkan pengalaman saya sebelum ini membuatkan pengalaman ini tidak memberangsangkan."

MUHAMMAD AKMAL BIN MOHD SANI
SIQ 160046


"Saya ialah Muhammad Akmal Bin Mohd Sani dan ID pelajar saya ialah SIQ160046. Saya merupakan biro aktiviti. Sebelum aktiviti dijalankan, saya menjangkakan bahawa semua program yang telah dirancang akan berjalan dengan lancar kerana saya beranggapan anak-anak di Rumah Hope ialah jenis pasif. Namun anak-anak di Rumah Hope sangat aktif dan ceria sehingga beberapa aktiviti terpaksa berjalan dengan lama. Kami terpaksa merombak semula aktiviti yang telah dirancang. Harapan saya ialah aktiviti yang telah dirancang pada sabtu ini akan berjalan dengan sempuna agar semua orang dapat bergembira dan mempunyai kenangan manis di samping mengeratkan hubungan sesama manusia."

YAO MENG LIANG 
SIQ160701 


"Pada hari Sabtu yang lepas, kami telah pergi melawat rumah anak-anak yatim iaitu Rumah Hope. Pengalaman pad ahari Sabtu itu sangat bermakna dan tidak akan saya lupakan seumur hidup saya. kanak-kanak di situ tidak dapat merasai kasih sayang daripada keluarga masing-masing. Kami mengambil masa satu hari untuk tinggal di sana dan bermain bersama mereka. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka ketika kami bermain bersama-sama, mungkin kerana mereka jarang dapat menikmati peluang seperti ini. Mereka ingin disayangi dan dahagakan perhatian. Sewaktu saya melihat kanak-kanak ini ketawa dengan riang, saya juga turut berasa bahagia kerana kedatangan kami ke sana boleh memberikan kebahagiaan dan kegembiraan walaupun sekejap cuma. Saya berharap kami dapat melakukan sesuatu untuk mereka seperti meluangkan masa bersama dan berharap mereka ini dapat membesar dengan sihat dan meniti kehidupan yang gembira"

No comments:

Post a Comment

VIDEO