Sunday, 30 April 2017

REKFLEKSI KENDIRI HARI KETIGA

ANIS AMIRAH BINTI DIN ARIF
SIQ160004


“Berakhirlah sudah ketiga-tiga lawatan kami ke Rumah Hope. Apa yang saya ingin katakan ialah, ia merupakan satu pengalaman yang berharga dan bermanfaat buat saya dan rakan-rakan. Walaupun saya berasa lega dan gembira kerana telah menghabiskan program kami bersama kanak-kanak Hope, tetapi tidak dinafikan saya juga berasa sedih untuk berpisah dengan mereka kerana telah meluangkan masa bersama selama tiga hari. Berbeza dengan lawatan pertama dan kedua kami, lawatan terakhir ini saya dapat merasakan ikatan antara kami semakin kuat. Setibanya kami di sana, mereka menyambut kedatangan kami dengan mesra dan menunjukkan pokok tauge yang ditanam pada minggu lepas kepada kami dengan perasaan teruja. Saya berasa terharu kerana hal ini menunjukkan betapa mereka menjaga pokok tersebut hingga tumbuh dengan baik. Selain itu, aktiviti yang kami jalankan juga semakin teratur. Kanak-kanak di situ begitu bersemangat apabila bermain “indoor games” yang telah kami jalankan. Keseronokan yang terpancar di wajah mereka membuatkan saya turut berasa seronok dan gembira. Semasa upacara penutup, kami bergambar bersama kanak-kanak di sana dan sesetengah daripada mereka mengungkapkan rasa sedih kerana ia merupakan hari terakhir kami bersama mereka. Saya berasa sebak dan pada masa yang sama turut berasa sedih. Saya berharap agar kehadiran kami sedikit sebanyak dapat mengembirakan hari-hari mereka. Sejujurnya, ini adalah pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan.”

CHEONG YI JING
SIQ 160005



“Lawatan ketiga kami ke Rumah Hope merupakan lawatan yang paling seronok dan menceriakan berbanding dengan lawatan sebelum ini. Aktiviti-aktiviti yang kami rancang amat sesuai dan disukai oleh kanak-kanak di Rumah Hope. Kanak-kanak tidak lagi bersifat malu malah lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti, berkomunikasi dan berinteraksi dengan kami. Setibanya kami di Rumah Hope, beberapa kanak-kanak telah menanti-nantikan ketibaan kami kerana tidak sabar untuk menunjukkan biji benih yang ditumbuhkan seminggu lepas. Saya berasa amat terharu dengan tindakan mereka tersebut kerana ia membuktikan bahawa rancangan dan penyediaan yang kami lakukan sebelum ini adalah berbaloi. Sepanjang ‘in-door games’ dijalankan, kanak-kanak telah memberi kerjasama dan aktiviti-aktiviti tersebut berada dalam kawalan kami. Walau begitu, hadiah yang hanya disediakan untuk pemenang sahaja menyebabkan kanak-kanak yang lain berasa kecewa. Selain itu, kanak-kanak juga teruja kerana berpeluang untuk menonton wayang dan menyanyi lagu kegemaran menggunakan laptop ‘faci’. Sebelum bersurai, sesetengah kanak-kanak kelihatan berat hati kerana hubungan kami telah menjadi akrab setelah beberapa lawatan. Mereka telah memeluk kami sebelum kami bertolak ke UM dan kami sempat mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan. Saya berharap sesi-sesi yang kami sediakan merupakan pengalaman bermakna dan manis yang tidak pernah kanak-kanak di Rumah Hope alami.”

HARISSA AMANI BINTI ABDUL RAZAK
SIQ 160008


"Sabtu lepas merupakan kali terakhir kami menghadiri sesi bersama anak anak di Rumah Hope . Saya akui kami amat rapat di kali terakhir ini . Mereka sangat menghargai kami dan memberi kerjasama pada setiap aktiviti kami adakan . Ketika kami memberitahu bahawa hari tersebut merupakan hari terakhir kami bersama mereka , mereka sedih Ada yang menangis kerana mereka kata mereka akan rindukan . Ada juga yang meminta nombor telefon kerana ingin menghubungi kami jika rindu . Ini menyebabkan hati wanita saya tersentuh dan saya juga menangis bersama mereka . Saya juga mendapat pengajaran mereka perlukan kasih sayang untuk berasa gembira dan kita sebagai manusia perluh saling mengasihi antara satu sama lain kerana ini yang menjadikan dunia lebih bermakna. Saya juga merasakan bahawa semua manusia berhak untuk disayangi dan menyayangi."


INTAN SYAFINAZ BINTI MUHAMMAD HATTA
SIQ 160009



“Hari Sabtu yang lepas (29/4/2017) merupakan hari yang paling bermakna buat saya. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Program Jalinan Masayarakat banyak mengajar saya erti berkongsi kasih sayang, tolong-menolong dan bersyukur. Saya sangat gembira kerana kanak-kanak di Rumah HOPE terhibur dengan segala aktiviti yang dijalankan oleh kami. Semua kanak-kanak di Rumah HOPE seronok dengan aktiviti yang diadakan membuatkan keberadaan kami di sana terasa amat dihargai. Joel, merupakan kanak-kanak lelaki berbangsa India yang paling rapat dengan saya sepanjang 3 hari program kami di Rumah HOPE. Lambaian terakhir Joel kepada saya sebelum saya pulang ke UM merupakan lambaian perpisahan yang tidak akan saya lupakan. Oleh itu, saya sangat berharap agar semua kanak-kanak di Rumah HOPE dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini dan berjaya dengan cemerlang pada masa hadapan. Doa saya sentiasa mengiringi kejayaan mereka di sana. Sekian.”


LEE WEI KENG

SIQ 160012


“Hari ini (Sabtu 29/4/2017) merupakan hari terakhir kami berada di Rumah HOPE. Sebelum berada di sana, saya sangat gembira kerana lawatan kami ke Rumah HOPE sudah sampai ke penghujungnya. Oleh sebab kedatangan kami kali ini merupakan kedatangan kami yang terakhir, kami telah menyediakan “goodies bag” sebagai hadiah kenangan untuk kanak-kanak di Rumah HOPE. Kami telah merancang pelbagai jenis aktiviti untuk kanak-kanak di Rumah HOPE antaranya permainan bowling, lempar duit syiling dan sebagainya. Kanak-kanak di Rumah HOPE memberikan kerjasama yang baik sepanjang aktiviti permainan dijalankan. Mereka menurut arahan dan bermain dengan riang. Selain itu, lawatan saya ke Rumah HOPE sekali-sekala telah mengimbau kembali kenangan saya sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Program Jalinan Masayarakat di Rumah HOPE dapat membantu saya untuk belajar cara-cara menjaga kanak-kanak dan ini merupakan pengetahuan asas untuk mempersiap diri saya pada masa hadapan apabila saya susah mempunyai keluarga sendiri nanti. Sekian. “

LIM CHEEN CHEEN
SIQ 160013



“Inilah kali terakhir kami melawat le rumah hope. Walaupun berasa berat hati, kami tetap membuat persediaan yang sempurna supaya menjayakan semua aktiviti-aktiviti yang akan diadakan. Saya berasa gembira melihat hubungan kami dengan kanak-kanak semakin erat setiap kali kami melawat mereka. Lagi, mereka menyambut kedatangan kami di pagar pintu. Saya berasa amat bersyukur dapat mengenali mereka saya berharap lawatan kami akan membawa sebuah kenangan yang baik kepada mereka.”

LIM MING LIANG
SIQ 160014


“Hari ini merupakan hari terakhir bagi projek jalinan masyarakat di rumah HOPE. Apabila sampai ke rumah HOPE, perasaan saya sangat keliru kerana seorang budak sangat gembira kerana merupakan hari terakhir kami berada di situ, tetapi ada juga segelintir budak yang sangat sedih. Budak-budak tidak sabar menunjukkan biji benih yang ditanam oleh mereka pada minggu lepas dan saya berasa sangat bersyukur kerana aktiviti kita telah berjaya mancapai matlamatnya. Kami meneruskan aktiviti seperti yang diaturkan iaitu permainan. Walaupun budak-budak ini masih selalu bergaduh semasa permainan, tetapi saya telah mahir untuk mengawal situasi berdasarkan pengalaman saya sebelum itu. Hari itu sangat istimewa kerana seorang budak yang malu dengan saya sebelum itu sangat suka akan saya. Saya selalu bermain dengannya dan dia ialah kanak-kanak yang paling comel dalam rumah HOPE. Selepas itu, semasa menyampaikan barang-barangan yang kami belikan untuk mereka, masa itu merupakan kali pertama mereka mengucapkan terima kasih terhadap saya. Kalau nak bandingkan, hari itu sangat berjauh beza dengan hari yang pertama berinteraksi dengan mereka. Sebelum saya bertolak, seorang kanak-kanak datang untuk menghalang saya dan meminta saya dan kawan-kawan untuk tinggal bersama mereka satu hari lagi dan datang setiap minggu untuk bermain dengan mereka. Masa itu sangat menyentuh hati, saya hanya meminta maaf dan membaginya satu pelukkan. Saya berasa sangat gembira kerana telah menyempurnakan projek ini dan juga telah mencapai salah satu matlamat hidup iaitu melawat ke rumah kanak-kanak. Segala usaha yang saya lakukan tidak disia-siakan begitu sahaja dan keputusannya amat memuaskan.”

LIM YONG XIN
SIQ 160016



“Pada 29 April 2017 (Sabtu), saya telah mengunjungi Rumah HOPE bersama dengan rakan sekursus saya untuk program Jalinan Masyarakat Sains Aktuari Univeristi Malaya 2016/2017 pada kali ketiga. Saya harap dalam lawatan ini, saya boleh berinteraksi dan bermain dengan mereka dengan sepenuhnya kerana lawatan ini merupakan lawatan terakhir bagi kita. Bagi lawatan kali ini, kami menyediakan game untuk mereka seperti "boling", baling syiling dan sebagainya. Permainan tersebut membolehkan mereka belajar untuk menumpukan perhatian di mana tumpuan perhatian amat penting dalam proses pembelajaran. Dalam lawatan pada kali terakhir ini, hubungan kita sudah semakin rapat dan penamatan projek ini telah menyebabkan kami semua berasa kesedihan. Di sini, saya berharap kanak-kanak tersebut boleh sihat-sihat belaka dan berjaya dalam masa hadapan.”

NUR SYAFIQAH BINTI SHAIFUL BAHRI
SIQ 160034

"Hari ketiga lawatan kami ke Rumah Hope menandakan tamatnya program Jalinan Masyarakat kami pada kali ini. Pada kali ini saya sangat teruja sebelum bergerak ke sana, mungkin kerana ianya merupakan kali terakhir saya dapat melihat wajah-wajah mereka. Setibanya saya di san, saya agak terkejut dan terharu apabila mereka memanggil kami untuk masuk ke dalam. Ternyata tujuan mereka memanggil-manggil kami ke dalam adalah untuk menunjukkan kacang hijau yang  mereka tanam pada sesi lepas telah tumbuh. Boleh saya simpulkan pada kali ini, semua program yang telah dirancang telah berjalan dengan lancar dan kesemua kanak-kanak ini melibatkan diri dengan aktif terutamanya ketika "Indoor Games". Bahkan, hubungan antara kami dengan kanak-kanak ini lebih akrab dan mesra. Sewaktu majlis penutupan, ada seorang kanak-kanak mendekati saya dan bertanya kiranya itu ialah hari terakhir kami berjumpa mereka dan dia kelihatan sangat sedih. Lebih menyedihkan, salah seorang kanak-kanak itu telah datang memeluk salah seorang fasilitator sambil menangis. Saya sejujurnya merasakan bahawa program ini sememangnya telah memberi impak yang sangat mendalam kepada kami, para fasilitator dan juga kanak-kanak Rumah Hope. Saya berharap agar ramai pihak dapat menjalankan aktiviti seperti ini lagi dengan mereka agar mereka tidak berasa kesunyian dan saya berharap agar kehidupan mereka sentiasa disinari kebahagiaan dan kegembiraan."


NURLIYANA BINTI BAHARUDDIN
SIQ 160037



“Lawatan kami pada Sabtu yang lepas menandakan hari yang terakhir kami akan meluangkan masa bersama mereka. Apa yang saya dapat simpulkan adalah hari yang terakhir ini merupakan antara hari yang bahagia dan juga sedih untuk saya dan ahli-ahli lain. Walaupun hanya berjumpa mereka untuk tiga kali, ikatan persahabatan antara kami amat erat seolah-olah seperti rakan lama. Pelbagai persiapan yang telah dilakukan oleh setiap ahli untuk menjayakan hari yang terakhir ini antaranya ialah mengisi “goodies bag” dan membuat kad ucapan besar sebagai hadiah cenderahati kepada Rumah Hope. Alhamdulillah semua aktiviti yang telah diadakan berjalan dengan lancar dan teratur berbanding hari pertama dan kedua. Ketika slot “indoor games”, saya dapat melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka dan ini amat bermakna buat saya. Apa yang paling menyentuh hati saya ialah semasa kedatangan kami, mereka menyambut kami dengan mesra dan tidak sabar untuk memulakan aktiviti. Mereka juga telah menunjukkan hasil tanaman kacang hijau mereka yang telah dilakukan pada hari kedua lawatan kami. Masa berlalu amat pantas dan tibalah upacara penutupan. Kami telah bergambar bersama mereka untuk disimpan sebagai kenangan dan kanak-kanak di sana meluahkan rasa sedih mereka dan menyatakan bahawa mereka akan merindui kami. Walaupun pada mulanya saya berasa lega kerana ini merupakan hari terakhir kami, tetapi setelah mendengar kata-kata mereka, hati saya berasa sayu dan sedih untuk meninggalkan mereka. Saya berharap dengan kehadiran kami pada tiga hari yang lepas sedikit sebanyak dapat mewarnai hidup mereka. Tidak dapat dinafikan lagi, hari-hari bersama mereka merupakan kenangan terindah yang tidak dapat saya lupakan.”


UMI UMAIRAH BINTI AHMAD AZMAN
SIQ160040



“Hari terakhir saya berada di Rumah Hope merupakan saat yang sangat penting dan menyedihkan bagi saya. Sebelum tibanya hari tersebut, kami telah membuat persediaan yang cukup rapi supaya hari terakhir ini berjalan dengan lancar. Kami telah melakukan ‘Test Game’ sehari sebelum program supaya lebih teliti perancangan kami seperti melantik Person in Charge bagi setiap game yang dilakukan dan bagi setiap kategori kanak-kanak. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan malah lebih daripada apa yang kami jangkakan. Kanak-kanak di Rumah Hope sangat seronok bermain bersama kami dan kebanyakannya berasa sedih apabila mengetahui bahawa hari itu merupakan hari terakhir kami melawat Rumah Hope. Saya juga sedar bahawa saya sudah lebih rapat dengan beberapa kanak-kanak di bawah jagaan saya dan berat bagi saya ingin meninggalkan mereka. Saya berharap pada masa hadapan, saya mempunyai peluang untuk melawat mereka dengan lebih kerap dan memberikan kasih saying yang lebih banyak kepada mereka. Pengalaman di Rumah Hope juga membuatkan saya sedar bahawa saya mempunyai keluarga yang sangat sempurna dan menyayangi saya dan saya perlu sentiasa bersyukur ke atas setiap rezeki yang diberikan kepada saya.”


CHOONG SHI KEE
SIQ 160042



“Masa berlalu dengan cepat dan tibalah hari aktiviti yang terakhir untuk kita melawat ke Rumah Hope. Oleh itu, kami ingin memberi semangat dan komitment yang sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti yang terakhir ini. Kami tidak sabar untuk bertemu dengan mereka. Semasa kita sampai, kita amat terharu apabila terlihat seorang budak ( Aji ) menyembunyi diri di belakang tiang dan memegang tumbuhan kacang hijaunya yang ditanam sebelum minggu lepas. Semua kanak sudah berkumpul di tapak aktiviti kita dan mengalu-alukan kedatangan kita. Selain itu, kita telah menyediakan aktiviti ‘indoor’ kepada mereka dan mereka amat menikmati keseronokan semasa aktiviti telah dijalankan. Sebelum kami menamatkan lawatan kita, biro khas telah menyediakan “ goodies bag “ yang dipenuh oleh makanan-makanan kegemaran mereka. Majlis Penyampaian Hadiah juga diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang aktiviti hari ini. Selepas penyampaian hadiah, sesi menangkap gambar telah bermula semasa kita bergambar bersama dengan kakitangan Rumah Hope dan kanak-kanak yang comel itu. Masri (kanak-kanak Rumah Hope) amat sedih semasa didapati hari ini merupakan hari yang terakhir untuk lawatan ini. Kita juga tidak sangka terhadap aktiviti ini telah memberi banyak impak kepada mereka. Kenangan manis yang dihadapi di Rumah Hope akan disimpan di hati kita. Akhirnya, tanda penamatan telah dititik semasa kami meninggal dari Rumah Hope. Saya berharap agar masyarakat boleh menghulurkan bantuan kepada golongan yang lebih kurang kasih sayang keluarga seperti mereka. Jika ada peluang, saya ingin melawat mereka lagi bersama dengan ahli-ahli kami.”


MUHAMMAD AKMAL BIN MOHD SANI
SIQ 160046



“Assalamualaikum. Pada lawatan kami ke Rumah Hope hari ini, saya dapat rasakan perasaan sedih dan pilu kerana ia merupakan hari terakhir kami mengunjungi kanak² rumah hope. Alhamdulillah pada kali ini semua aktiviti berjalan dengan lancar dan mengikut jadual, syabas kepada semua fasi² yang dapat mengawal keadaan pada hari tersebut. Kanak² rumah hope juga memberikan kerjasama untuk menyertai aktiviti yang kami lakukan. Kami juga sempat berkaraoke dan menonton movie bersama mereka. Sebelum kami berpisah dengan mereka, kami sempat mengambil beberapa gambar kenangan dan memberikan kata² nasihat kepada mereka. Saya berharap agar mereka memperoleh kejayaaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, dan saya juga berharap agar saya dapat melihat mereka berjaya sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini.”


YAO MENG LIANG
SIQ 160701

“Selepas dua kali pertemuan saya dengan kanak-kanak di Rumah HOPE, pertemuan kali ketiga membuatkan saya tidak sabar untuk menemui kanak-kanak di rumah tersebut buat kali terakhir. Sebelum kami ke sana, kami telah menyediakan sekeping kadbod untuk dilekatkan kata-kata motivasi daripada setiap seorang ahli kumpulan kami kepada kanak-kanak di Rumah HOPE. Sewaktu saya tiba di Rumah HOPE, saya melihat kanak-kanak yang rapat dengan saya dan saya terus memeluknya. Kanak-kanak tersebut memberitahu saya bahawa dia sangat rindu akan saya. Selain itu, kami telah menyediakan beberapa permainan baharu untuk mereka agar mereka lebih gembira dengan aktiviti yang dijalankan. Kami juga telah menyediakan hadiah menarik untuk mereka dan ternyata mereka sangat gembira dengan hadiah tersebut. Akhir kata, ini merupakan detik paling manis dalam hidup saya. Saya berharap dapat kembali lagi ke Rumah HOPE untuk melawat kanak-kanak di sini sekiranya saya mempunyai kesempatan masa. Sekian.”


























No comments:

Post a Comment

VIDEO